Dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, YAB Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan Geran Selangorku bernilai RM300 juta.
Pada mulanya saya menyangkakan geran ini merupakan bantuan kepada peniaga kecil. Rupanya tujuan geran ini ialah untuk menjayakan projek infrastruktur mengikut DUN. Saya difahamkan sekurang-kurangnya 2 projek infrastruktur setiap DUN. Ini bermakna terdapat lebih 112 projek untuk Geran RM300 juta.
Ini tidak lain dan tidak bukan merupakan agenda politik Pakatan menjelang pilihan raya umum akan datang. Jika Barisan Nasional berbuat sedemikian tentu akan dikatakan mengamal rasuah politik. Tapi jika mereka yang berbuat demikian segala-galanya tidak mengapa dan bersih segalanya.
Namun yang menariknya dalam pengumuman tersebut ialah Khalid menyatakan bahawa segala urusan akan dijalan secara telus dan memastikan tiada ketirisan. Pada fahaman ramai orang tentulah proses mengenalpasti projek infrastruktur dan juga pemberian kontrak akan dilakukan secara terbuka dan telus.
Malahan kenyataan media Pejabat Menteri Besar juga menyatakan,"Pemilihan kontraktor bagi menjalankan projek infrastruktur oleh jawatankuasa berkenaan dibuat berdasarkan harga terendah dan menepati spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR)."
Anehnya, saya mendapat butiran taklimat Khalid kepada para EXCOnya yang jelas sekali menunjukkan pemberian Geran RM300 juta ini bergantung sepenuhnya kepada keputusan Menteri Besar. Jika ia berdasarkan sebut harga terendah mengapa pula kelulusan bergantung kepada Menteri Besar?
Berdasarkan carta aliran pemberian geran RM300 juta ini, Khalid berkuasa secara berseorangan untuk memutuskan siapa yang akan mendapat kontrak. Apakah ini bukan bentuk "Corruption" yang sangat luar biasa?
Bukankah kerajaan Selangor sekarang mendakwa ia merupakan sebuah kerajaan yang telus dan terbuka. Justeru mengapa dalam menentukan siapa yang akan mendapat kontrak-kontrak bernilai RM 300 juta secara keseluruannya ini ditentukan oleh Menteri Besar secara bersendirian?
Jika dilihat senarai Jawatankuasa Pengurusan Geran Selangorku ini juga dianggotai sebahagian besar oleh para pegawai Khalid di Pejabat Menteri Besar dan Menteri Besar Incorporated.
Adalah sangat aneh dan luar biasa bagi satu peruntukan yang menyamai 20% bajet kewangan negeri dilakukan tanpa pembabitan para pegawai kanan kerajaan negeri seperti Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.
Saya tidak pasti yang mana satu Khalid berbohong, sama ada di Retreat bersama EXCO beliau di Melaka atau di dalam Dewan Negeri Selangor dan juga kenyataan akhbar pejabat beliau.
Tapi yang lebih mengelirukan kita apakah Menteri Besar Selangor hari ini mempunyai tabiat suka berbohong atau pelupa? Kenyataan beliau mengenai kaedah pemberian projek dalam pelaksanaan geran ini bercanggah antara satu sama lain. Pasti salah satunya merupakan pembohongan.
Ini mengingatkan kita bagaimana kenyataan Khalid dalam Istana Selangor mengenai kononya hasil pasir Selangor mencecah RM 150 juta. sehingga sekarang 1/3 daripadanya belum dapat.
Sebahagian orang juga belum lupa pengumuman pakej rangsangan ekonomi Selangor bernilai RM 50 bilion pada 2009 kononnya untuk mengatasi pakej rangsangan ekonomi Malaysia bernilai RM 17 Bilion. Khalid juga pernah mengumumkan pakej RM 10 bilion untuk pembangunan sungai Klang. Sehingga hari ini kita tidak nampak apa pun yang berlaku dari pakej tersebut. Jangan kata pembangunan, wang untuk pakej tersebut pun tidak ada.
5. Cuma saya sedikit bersyukur Khalid sekarang tidak lagi bercakap soal wang berpuluh-puluh bilion. Menjadi harapan agar pengumuman mengenai ratusan juta seperti geran Selangorku ini juga tidak tinggal setakat cakap-cakap kosong dan untuk iklan papan tanda publisiti Menteri Besar sahaja.
sumber : blog DR KHIR TOYO