BUTTERWORTH: Jalur Tiga (Jati) akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta mata pelajaran Pendidikan Islam menjadi salah satu subjek wajib lulus dalam peperiksaan sebagaimana subjek wajib lulus yang lain.
Presidennya Datuk Dr Hasan Ali berkata permintaan itu dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap Islam dan bukan kerana bersikap perkauman atau cauvinis semata-mata.
“Jati juga mahu mata pelajaran Pendidikan Islam dijadikan subjek wajib lulus kepada pelajar Islam dalam peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).
“Bagaimanapun memorandum itu akan diserahkan selepas Jati berjaya mengumpulkan seramai 500,000 ahlinya dan kita yakin mampu memperoleh jumlah berkenaan menjelang enam bulan akan datang,” katanya semasa menyampaikan ceramah Selamatkan Akidah anjuran Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) Pulau Pinang di Bukit Jelutong, Permatang Pasir, dekat sini, malam tadi.
Hasan yang juga bekas Exco kerajaan negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor menyampaikan ceramah di hadapan lebih 5,000 orang di Bukit Jelutong yang merupakan siri jelajahnya ke seluruh negara.
Hasan dalam ceramahnya sekali lagi menegaskan supaya pengundi Melayu khususnya di Pulau Pinang menjadikan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) sebagai peluang untuk menyelamatkan serta melindungi hak keistimewaan
Islam, orang Melayu dan institusi raja daripada dihapuskan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab termasuk pembangkang.
Katanya undi orang ramai akan menjadi penentu kerajaan mana yang boleh mempertahankan ketiga-tiga keistimewaan tersebut yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata sebagai orang Islam, mereka wajib mempertahankan ketiga-tiga perkara itu dan juga wajib memilih pemimpin yang benar-benar dapat menyelamatkannya.
“Saya mahu untuk PRU-13 nanti terutama orang Pulau Pinang, mari kita selamatkan ketiga-tiga ini. Saya minta tolong sangat-sangat. Perubahan ini mesti dilakukan bila tiba PRU-13,” katanya
3 comments:
Ok, aku setuju PI dijadikan subjek wajib lulus. Tapi harus diingat, budak-budak sekarang dah makin bijak, nak lulus subjek PI mudah je. Sekadar hafal buku teks dah gerenti lulus. Jika itulah yang berlaku, sudah tentu kita akan gagal membentuk generasi modal insan yang sebenar.
Subjek PI perlu digubal semula supaya selaras dari segi kerohanian dan sahsiah seseorang pelajar. Bukan semata-mata diajar sekadar untuk lulus peperiksaan.
Pelajar perlu diajar bagaimana untuk membuat keputusan sama ada nak memilih jalan kebenaran atau jalan kesesatan. Latih pelajar supaya boleh menimbang baik buruk setiap pilihan yang bakal dibuatnya.
Tekankan konsep risiko, dosa dan akibat jika salah membuat pilihan. Mungkin dalam dunia serba maju dan moden, pelajar menjadi semakin keliru dalam membuat keputusan atau pilihan yang tepat.
Oleh itu, saya cadangkan kemahiran baru diterapkan dalam KSSR iaitu kemahiran membuat keputusan (decision making).
Pelajaran Agama Islam..
KOMENTAR YANG BAIK ANON 7.48PM ...
Post a Comment