"Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dibacakan kali yang kedua sekarang.”
Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat,
1. Di ambang hari Malaysia 16 September 2011 yang lalu, saya telah mengumumkan inisiatif Program Transformasi Politik Negara atau PTP yang melibatkan pembatalan 3 Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, Penggubalan Akta Perhimpunan Aman termasuklah pemindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
2. Serentak dengan itu, setelah tujuh bulan berlalu, bukan sekadar semua komitmen ini sedang dilunaskan, kita juga meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti sebagai mengiktiraf kematangan juga hak perlembagaan mahasiswa mahupun mahasiswi terlibat dalam politik berparti.
Tuan Yang di-Pertua,
3. Menghalusi komponen-komponen Dasar Transformasi Nasional, Program Transformasi Kerajaan atau GTP melalui Program Transformasi Luar Bandar atau RTP lebih responsif kepada keutamaan massa bagi memastikan masyarakat luar bandar memiliki kemudahan prasarana asas yang moden dan mencukupi. Program Transformasi Ekonomi atau ETP bersesekali dengan Model Baru Ekonomi atau NEM pula bertujuan mencapai matlamat nasional menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
4. Sehubungan itu, sering kita sebutkan, seandai terkedepan dari segi infrastruktur fizikal atau material semata-mata tanpa kematangan institusi serta wacana politik nasional, mana mungkin mencerminkan kemajuan sebenarnya.
5. Dalam kata lain, kita ingin merealisasikan potensi Malaysia, bukan setakat menjadi negara demokratik, tetapi lebih daripada itu, untuk melonjakkan tempatnya pada kedudukan disegani di kalangan komuniti negara-negara yang menghormati hak asasi manusia. Lantaran itulah, inisiatif PTP ini bermatlamat bagi memastikan proses pembaharuan dan perubahan nasional dilaksanakan dengan tuntas.
6. Sememangnya ini adalah satu proses berterusan dan menuntut komitmen semua rakyat Malaysia. Ia bukan misi singkat yang mengambil masa sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun, sebaliknya ia memerlukan iltizam bersifat generasi ke generasi.
Tuan Yang di-Pertua,
7. Jelas sekali, perubahan dan pembaharuan lanskap politik yang sedang kita lakukan kini melalui PTP adalah bagi menangani kejayaan membangunkan negara selama lebih separuh kurun semenjak merdeka. Ia hasil usaha tidak kunjung jemu oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi, menyediakan prasarana fizikal moden, membuka akses kepada prasarana teknologi maklumat serta komunikasi yang menyeluruh sekaligus pelaburan besar dalam bidang pendidikan.
8. Melalui pindaan, pemansuhan dan penggubalan undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea. Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia di mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk berhimpun secara aman dan untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi.
9. Berdiri di muka gerbang semua ini, segalanya kita mampu gemblengkan kerana kita yakin dengan kematangan semua, kerana kita yakin dengan kesediaan rakyat Malaysia, dan mustahaknya kita yakin bahawa ini adalah perkara yang betul dan wajar untuk dilakukan. Apa yang penting, setiap hak mahupun kebebasan mestilah bersulam dengan tanggungjawab, dengan izin, “freedom with responsibility”.
Tuan Yang di-Pertua,
10. Jika ditinjau, senario antarabangsa sekalipun, peristiwa dan waktu menunjukkan untuk mencapai tahap demokrasi yang ada seperti hari ini, Amerika Syarikat dan United Kingdom mengambil tempoh berabad lamanya melalui proses perlembagaan, perang saudara, perundangan malah usaha tanpa henti oleh masyarakat sivilnya.
11. Lain halnya, kita bersyukur kepada Tuhan bahawa usaha evolusi demokrasi negara ini tidak melibatkan pertumpahan darah bahkan ia berkait rapat dengan evolusi sosioekonomi. Seperti diimbas lebih lima dekad yang lalu, Timbalan Perdana Menteri Malaya pada ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak, dalam dewan yang mulia ini juga telah membentangkan rang undang-undang Keselamatan Dalam Negeri 1960 bagi menyediakan negara dengan perkakasan perundangan yang perlu bagi mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang pasca tamatnya era darurat.
12. Jadinya, hari ini amat bersejarah dalam menyisir susur galur demokrasi Malaysia. Pentadbiran kini yang sentiasa prihatin merasai denyut nadi rakyat, yang sentiasa mendengar keluh kesah mereka, dan sentiasa mendakap aspirasi massa telah mengambil keputusan untuk memansuhkan ISA. Kita hakikatnya telah memasuki era demokrasi yang lebih matang di mana peranan kerajaan berubah daripada menjadi penentu dan pengukur tahap kematangan rakyat kepada pelindung agar mereka dapat menikmati hak-hak asasi yang sepatutnya.
Tuan Yang di-Pertua,
13. Tidak ada sesiapa pun mampu menafikan bahawa selama lebih setengah abad kewujudannya, ISA berperanan bagi melindungi cara hidup demokratik di negara tercinta ini. Ironisnya, undang-undang yang dianggap “draconian” ini telah memastikan demokrasi, hak asasi manusia dan “human dignity” dilindungi di Malaysia berbanding alternatif lain jika negara ditadbir oleh sistem kediktatoran komunis.
14. Namun, masa telah beralih dan peranan ISA telah tiba ke penghujungnya. Kerajaan menyedari hakikat ini dan komited bagi memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif.
Artikel selanjutnya, klik Najib Bentang Rang Undang Undang Kesalahan Keselamatan 2012
0 comments:
Post a Comment