Saturday, September 29, 2012



Tuan Yang di-Pertua,

Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara.

Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money.

Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah.

Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.

Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.

Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.



Tuan Yang di-Pertua,

Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih responsif.

Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit.

Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit setahun.

Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah laku 5 tahun.

Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013.



Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM.

Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.

Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan.

Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta ringgit.

Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit.

Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera yang merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini.

Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak 224 juta ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu anggota tentera dan polis.

Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan.

Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013.

Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4 peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.

Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua.

Bagi mengurangkan beban kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih.

Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit akan disediakan.

0 comments: