Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu kenyataan media yang dibuat oleh Menteri Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar mengenai kesusutan rizab air terawat di negeri Selangor yang kini hanya tinggal 2.4% berbanding rizab yang sepatutnya iaitu 20% .
Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Noh Omar ini mencerminkan tahap kritikal rizab simpanan air terawat di Selangor dan hal ini boleh dikaitkan dengan jangkaan yang dibuat oleh AWER (Association of Water and Energy Research Malaysia) melalui siaran media yang dikeluarkan pada 13 Januari 2012.
Siaran media AWER menjangkakan krisis air Selangor mungkin akan melanda sebelum tahun 2014. Dari kajian yang dibuat oleh AWER, pengeluaran air terawat dari tahun 2007 hingga 2010, menunjukkan peningkatan purata sebanyak 2.14% setahun.
Melalui siaran media pada 25 Mei 2009 , projek Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor dianggar bernilai RM 3.936 billion . 75% daripada jumlah itu dibiayai oleh JICA (Japan International Corporation Agency) dan selebihnya oleh kerajaan persekutuan.
Projek Penyaluran Air Mentah Pahang - Selangor ini dijangkakan mampu untuk menyalurkan 1,890 juta liter sehari. Air mentah ini akan disalur ke Loji Rawatan Air Langat 2 sebelum diagih untuk kegunaan domestik.
Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim masih menangguhkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 melalui peruntukan kuasa yang ada pada mereka. Tindakan kerajaan negeri ini dipercayai untuk memberi tekanan kepada kerajaan pusat supaya mempercepatkan proses penstrukturan semula air di Selangor.
Pada masa kini, konsesi air di Selangor diuruskan oleh Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad , Konsortium ABBAS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sdn Bhd dan kerajaan negeri Selangor bercadang untuk mengambil alih syarikat-syarikat ini demi memastikan program pemberian air percuma kepada rakyat boleh diteruskan. Tawaran terakhir kerajaan negeri kepada syarikat-syarikat ini sebanyak RM 10 billion telah ditolak.
Susulan itu, Tan Sri Khalid menggesa Menteri yang bertanggungjawab , Datuk Seri Peter Chin Fah Kui untuk menggunakan kuasa menterinya di bawah Akta Industri Perkhidmatan 2006 bagi memastikan syarikat-syarikat konsesi ini bersetuju dengan rancangan penstrukturan semula air.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam respon terhadap kenyataan Khalid membuat kenyataan bahawa Akta itu hanya boleh digunakan sekiranya terdapat kekurangan air yang kritikal.
Oleh itu, tindakan kerajaan negeri Selangor dalam melengah-lengahkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 pasti akan menyebabkan situasi kekurangan air yang kritikal berlaku di Selangor dalam tempoh 2 tahun lagi.
Dan pada ketika itu menteri bertanggungjawab tidak mempunyai pilihan melainkan mengambilalih pengurusan air Selangor dari konsesi-konsesi air yang terlibat. Walaubagaimanapun tindakan kerajaan negeri Selangor ini dilihat seolah-olah memperjudikan nasib pengguna-pengguna air di Selangor dan sekitar Lembah Klang.
Apabila konsesi-konsesi ini diambil alih kerajaan, diandaikan Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan dengan kelulusan kerajaan negeri Selangor.
Sementara menunggu Loji Rawatan Air Langat 2 siap pembinaannya, penduduk Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya terpaksa berada dalam tempoh ‘catuan’ air dan pastinya memberi kesan pada kawasan-kawasan perindustrian yang beroperasi di Selangor dan kawasan sekitanya.
Sekiranya diteliti, masalah ini berpunca dari polisi 20 meter padu air percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan Negeri Selangor. Tan Sri Khalid Ibrahim berpendapat sekiranya kerajaan negeri menguruskan sendiri konsesi-konsesi air, kenaikan tariff air dapat dibendung dan kerajaan negeri Selangor berupaya untuk meneruskan program pemberian 20 meter padu air terawat percuma kepada rakyat Selangor.
Kerajaan pusat sebaliknya tidak menghalang pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi ini oleh kerajaan negeri, walau bagaimanapun tawaran kerajaan negeri kepada syarikat-syarikat konsesi ini telah ditolak.
Datuk Seri Peter Chin Fah Kui pada satu ketika membidas kerajaan negeri Selangor yang mempolitikkan isu penstrukturan semula air dengan mengatakan tidak timbul isu tariff air di Selangor akan naik jika kerajaan negeri memberi kelulusan kepada kerajaan pusat untuk meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.
Beliau turut menyatakan sebarang caj air ditentukan oleh kerajaan negeri dan bukan kerajaan pusat. Sekiranya pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak dimuktamadkan secepat mungkin, akan tiba satu ketika penduduk di Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya akan mengalami krisis air yang serius.
Kerajaan negeri Selangor pada hari ini masih lagi mencongak-congak kos pembinaan projek yang dikatakan membazir itu, pelbagai cadangan yang dikatakan lebih baik dan menjimatkan diberikan pada saat-saat akhir ini sedangkan segala kajian dan rekabentuk telah dibuat untuk Loji Rawatan Air Langat 2 sejak tahun 2006 lagi.
Dalam keadaan yang agak mendesak, seharusnya sesuatu dilakukan untuk mitigasi bagi masalah yang bakal melanda dan bukannya mengalihkan tumpuan tentang
apa yang sepatutnya dilakukan pada peringkat permulaan. Kebajikan rakyat haruslah diutamakan dengan mengetepikan sentimen politik.
apa yang sepatutnya dilakukan pada peringkat permulaan. Kebajikan rakyat haruslah diutamakan dengan mengetepikan sentimen politik.
Harga yang perlu dibayar sekiranya krisis air berlaku Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan kos pembinaan projek itu sendiri.
0 comments:
Post a Comment