Tuesday, May 22, 2012



SHAH ALAM, 22 Mei 2012 - Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mahu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberhentikan sikap berdolak-dalik kerajaan negeri yang menahan kelulusan Projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) semata-mata kerana kepentingan politik sempit pembangkang.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media di ibu pejabat UMNO Selangor, Shah Alam, semalam, menjelaskan kepentingan awam dan rakyat Selangor terjejas akibat masalah air yang cukup meruncing di Lembah Klang.

Mohd Zin memberitahu kadar simpanan (reserve) air hanya tinggal 2.4 peratus berbanding dengan kadar yang sepatutnya atau dalam zon selesa iaitu sebanyak 20 peratus.

Beliau turut berkata masalah ini dikhuatiri akan berpanjangan jika kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim masih enggan memberikan kebenaran kepada pembinaan loji rawat air Langat 2 yang sepatutnya diteruskan seperti yang telah pun dirancangkan sebelum ini.

"Kajian menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisi air yang serius pada tahun 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan bekalan air dari luar Lembah Klang. Keputusan kerajaan pusat menyalurkan air mentah dari Pahang amat dihargai kerana ia melibatkan kos yang paling kompetitif," katanya.

Beliau menambah masalah air yang serius membantutkan pembinaan 129 kilang dengan nilai pelaburan mencecah RM3.8 bilion yang akan menjana 12,300 peluang pekerjaan di Selangor tidak dapat diteruskan sama sekali.

"Begitu juga dengan sejumlah projek perumahan juga tidak dapat dilaksanakan kerana dikhuatiri tidak dapat menyediakan bekalan air yang mencukupi bagi kawasan perumahan yang perlu dibangunkan," katanya.

Beliau mengecam tindakan Khalid Ibrahim yang tidak melihat situasi semasa dan negara jiran, Singapura yang langsung tidak mempolitikkan masalah air kerana beranggapan masalah air adalah masalah yang melibatkan isu keselamatan negara (national security).

"Sebaliknya kerajaan selangor sanggup berdolak dalik dan menahan kelulusan yang telah diperolehi sebelum ini semata-mata kerana kepentingan politik sempit.

"Khalid ibrahim tanpa segan silu telah membawa isu ini hingga ke peringkat antarabnagsa malah menabur fitnah apabila menuduh syarikat yang mengendalikan operasi sebagai tidak mempunyai keupayaan," kata Mohd Zin dengan nada kesal.

Beliau menambah isu air telah mendapat teguran keras dari Sultan Selangor malah baginda telah bertitah agar isu air tidak dipolitikkan demi rakyat Selangor.

"Ini bukan masa untuk bermain politik. Sikap pembangkang selepas memenangi pilihanraya umum 2008 jelas menunjukkan mereka (Pakatan Rakyat) cukup hipokrit," kata Mohd Zin.

Beliau menyelar sikap Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri yang lebih gemar mempolitikkan Projek Langat 2 sehingga menjejaskan kebajikan rakyat Selangor agar boleh menikmati bekalan air yang bersih.

"Sebabnya adalah mereka takut kerajaan BN akan mendapat political milage sehingga Khalid Ibrahim mengakui bahawa mereka sanggup menggunakan air lombong jika masalah air di selangor berterusan.

"Bukankah untuk merawat air lombong memerlukan kos tanggungan yang tinggi? Sanggupkah rakyat selangor menggunakan air lombong yang tidak disalirkan dan dirawat dengan baik. Penstrukturan air, kenaikan harga air dan pembersihan air di loji air Hulu Langat adalah isu yang berasingan, tolong henti politikkan isu air.

"Saya tidak faham dengan sikap kerajaan negeri kerana projek ini adalah untuk rakyat Selangor, tidak kira sama mereka menyokong ataupun tidak menyokong Barisan Nasional, apa masalah mereka suka mempolitikkan setiap isu berkaitan dengan rakyat," tegas Mohd Zin.

Koordinator BN Selangor ini turut menggesa pihak media untuk bertemu dan menemuramah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi mengetahui betapa seriusnya masalah air di negeri Selangor.

Beliau turut menambah ianya bukan soal politik yang sengaja dibangkitkan oleh pihak BN kerana ia melibatkan kepentingan orang awam. Dalam mengakhiri sidang media, Mohd Zin berkata BN sedia menyelesaikan semua masalah jika kembali memerintah selepas pilihanraya umum nanti.


Lagi artikel menarik, klik KLPOS



GWM akan mengupas isu air ini lebih lanjut dalam artikel seterusnya.



1 comments:

Unknown said...

Khalid, tolong jgn perjudikan masa depan rakyat Selangor. Kes air janganlah dipolitikkan.

RAJA NONG CHIK GUNA PENGARUH DALAM UMNO UNTUK BAGI KONTRAK KEPADA ANAK SENDIRI? Baca di sini...

http://apakecoh2.blogspot.com/