Wednesday, May 15, 2013

Pengkajian Semula Sistem Pembelajaran Malaysia untuk Melahirkan Suatu Bangsa Malaysia Yang Bersatu, Teguh dan Bersepadu


GEJALA-GEJALA POLARISASI KAUM DI MALAYSIA

Pengkajian semula sistem pelajaran negara ini haruslah dilakukan memandangkan fenomena perpecahan kaum yang semakin meruncing di masa kini. Gejala ini amatlah jelas sekali di alam siber dimana segelintir masyarakat kini mempamerkan sikap anti-negara yang semakin berleluasa. 

Jelas sekali, anasir-anasir ini tidak menghormati asas dan prinsip Perlembagaan negara, tiada rasa cinta kepada Tanah Air dan juga menonjolkan penulisan hasutan yang mencetuskan sentimen perkauman yang begitu ketara sekali. 

Secara lantang anasir subversif ini mempertikaikan segala lambang kedaulatan dan intipati negara kita tercinta. Dari pengamatan kami, puak penderhaka ini antara lain telah menyentuh perkara seperti berikut:-

1) Mempertikai kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang diperuntukan dalam Perkara 181 Perlembagaan Malaysia .

2) Membangkitkan isi-isu sensitif seperti kedudukan istimewa Orang Melayu dan kaum Bumiputra lain yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

3) Mengabaikan Bahasa Rasmi negara, iaitu Bahasa Malaysia, dan mempromosikan secara meluas bahasa-bahasa asing, termasuk Mandarin dan Tamil, yang bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

4) Menidakkan adanya suatu Kontrak Sosial (berkaitan kerakyatan masyarakat Bukan Melayu dan kedudukan istimewa Orang Melayu) yang telah terjalin di antara kaum-kaum di negara ini sejak Merdeka dahulu.

5) Mengeji dan mempersenda Dasar Ekonomi Baru yang digubal mengikut Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

6) Mempersoal dan menidakkan peranan dan pengorbanan Orang Melayu yang telah bertapak di Bumi Tanah Melayu sejak sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dalam pembentukan dan pembangunan negara ini.

7) Melebihkan peranan puak imigran dalam pembentukan dan pembangunan negara ini ke tahap yang menyimpang jauh dari kenyataan.

8)Menjanakan berbagai penipuan sejarah yang akan memudaratkan pemikiran rakyat negara ini, terutama anak-anak di bangku sekolah.

9) Mempersenda dan memperlekehkan segala simbol kenegaraan Malaysia yang patut di sanjungi dan dipertahan oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah lagu Negaraku, Keris, Songkok dan, seperti tersebut di atas, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Malaysia dan sejarah negara ini.

10) Mempertikai hujah-hujah pemimpin Bukan Melayu terdahulu seperti Presiden MIC, Tun V.T. Sambanthan dan Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin, dimana pemimpin-pemimpin ulung tersebut telah melafazkan rasa kesedaran, keinsafan dan berterimakasih terhadap budi perkerti dan sikap bertolak-ansur Orang Melayu di dalam pemberian kerakyatan Jus Soli kepada kaum pendatang di Tanah Melayu, tidak seperti nasib yang menimpa kaum mereka di negara-negara serantau.


KEWUJUDAN BANGSA MALAYSIA YANG BERBAHASA MALAYSIA DAN YANG BERLANDASKAN BUDAYA DAN TATATERTIB ORANG MELAYU

Setelah hampir 55 tahun merdeka, negara kita kini menghadapi masalah perkauman dan kerapuhan sosial yang amat membimbangkan. Polarisasi kaum telah sampai ke tahap kritikal dan kini mengancam kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara. 

Justeru, Malaysia sudah tiada pilihan kecuali berikhtiar untuk menzahirkan suatu Bangsa Malaysia yang teguh bersatu, yang berbahasa Kebangsaan sebagai bahasa utama, yang bersepadu dalam pemikiran dan yang mempunyai tahap patriotisme yang tinggi berlandaskan cinta kepada negara dan hormat kepada Perlembagaan.

Berpandukan kepada semangat kenegaraan yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Persekutuan Malaysia, Bangsa Malaysia ini haruslah secara menyeluruh :-

11) Fasih bertutur di dalam Bahasa Kebangsaan. Bahkan Bahasa Malaysia menjadi bahasa ibunda seluruh Bangsa Malaysia di suatu hari kelak;

12) Memahami dan menghormati adat-adat dan tatasusila orang Melayu dan kaum pribumi lain di Malaysia;

13) Menghormati kedudukan Agama rasmi Malaysia iaitu Agama Islam sambil menikmati kebebasan beragama sesuai dengan peruntukan perlembagaan;

14) Mempertutur bahasa warisan ibunda lain dan mengamalkan warisan budaya ibunda dengan cara yang sesuai dengan peruntukan Perlembagaan, iaitu di luar konteks urusan rasmi dan di amalkan secara peribadi oleh komuniti tersebut.

15) Konsep Bangsa Malaysia yang kami amati telah diperbincangkan dengan mendalam di wadah kami. Suatu penjelasan menyeluruh telah di huraikan di blog DEMI NEGARA.

Titik permulaan dalam pembentukan Bangsa Malaysia tersebut terletak pada sistem pembelajaran negara kita. Sikap terhadap Bangsa Malaysia ini harus di bentuk dari peringkat asas. Justeru, Sistem Pembelajaran Malaysia haruslah di sesuaikan agar menjadi wadah utama dalam penerapan nilai-nilai Bangsa Malaysia tersebut di kalangan anak-anak kita bermula dari usia yang muda.


DASAR SISTEM PEMBELAJARAN MALAYSIA DI MASA KINI

Kami berpendapat, pembinaan suatu Bangsa Malaysia yang teguh bersatu dan jitu bersepadu tidak akan tercapai selagi adanya gejala Sekolah Vernakular (Sekolah Jenis Kebangsaan atau SJK) di Bumi Malaysia. 

Sekolah Vernakular tidak selaras dengan matlamat melahirkan Bangsa Malaysia berharmoni dan bersepadu yang berteraskan unsur-unsur nasionalisme yang sepatutnya. Malah ia telah menjadi penghalang utama keatas hasrat kerajaan membina masyarakat yang sehaluan bahasa, minda dan kebudayaan asas.

Kewujudan Sekolah Vernakular telah menimbulkan berbagai tanda tanya ke atas peranan dan statusnya di masa kini. Ini termasuklah:-

16) Sekolah Vernakular adalah bertentangan dengan status Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Rasmi negara kita. Malah, Sekolah Vernakular nyata bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan dimana Bahasa Malaysia diwajibkan untuk segala urusan rasmi, dan Sistem Pembelajaran adalah suatu urusan rasmi negara.

17) Bahasa penghantar di SJKC ialah Mandarin, Bahasa Kebangsaan sebuah negara asing, iaitu Republik Rakyat China. Malah ia bukan bahasa asli mana-mana suku kaum Cina yang tinggal di negara ini. Bahasa penghantar SJKT pula adalah Tamil, bahasa rasmi negeri Tamil Nadu di India. Ini adalah suatu fenomena sosial yang amat ganjil dan tidak harus di benarkan di negara kita.

18) Seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Bahasa Kebangsaan wajib digunakan untuk segala urusan rasmi negara. Sistem Pembelajaran merupakan suatu urusan rasmi negara sepertimana di semua negara di dunia.


Perkara 152(a) Perlembagaan Malaysia menyatakan :-

"No person shall be prohibited or prevented from using (otherwise than for official purposes), or from teaching or learning, any other language."

Fasal tersebut tidak memberi mandat kepada Kerajaan untuk membenarkan, apatah lagi memberi sokongan wang dan sebagainya, kepada mana-mana sekolah yang menggunakan bahasa selain dari Bahasa Kebangsaan kerana sistem pembelajaran adalah suatu urusan rasmi (“offical purpose").

19) Dari segi “protection of the legitimate interest of the others” yang termaktub dalam Perlembagaan, "kepentingan sah masyarakat lain" merangkumi urusan peribadi masyarakat tersebut dan tidak termasuk hak untuk menggunakan bahasa penghantar lain bagi urusan pembelajaran di sekolah. 

Peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia membolehkan pengajaran dan pertuturan bahasa lain secara peribadi di kalangan sesuatu masyarakat, dan bukan hingga ke tahap penggunaan bahasa lain secara berleluasa termasuk sebagai bahasa penghantar utama di sekolah.

20) Sekolah Vernakular pada amnya mengandungi satu kaum sahaja dalam suasana pembelajaran yang tidak membayangkan arca dan kandungan masyarakat negara ini. Ini tidak sesuai dalam melahirkan suatu Bangsa Malaysia yang bersatu dan bersepadu. 

Murid Sekolah Vernakular wujud dalam suasana terpencil dari aliran am. Mereka menyerapkan nilai-nilai satu kaum sahaja, tidak bergaul dengan kaum-kaum lain, tidak dapat pengalaman berinteraksi, kurang memahami adat resam kaum lain dan susah menerima hakikat bahawa adat resam dan budaya kaum majoriti di negara ini perlu di fahami dan di hormati. 

Ini mengakibatkan pemikiran mereka terkongkong dan menjadi janggal dan mereka bermasalah menyesuaikan diri dalam masyarakat majmuk negara ini.

21) Pengasingan sebahagian warganegara ke alam Sekolah Vernakular sejak umur yang senang di pengaruhi telah menjadi penghalang terbesar kepada kewujudan suatu Bangsa Malaysia yang bersatu di bawah satu bahasa, identiti dan pemikiran.


TIGA BAHASA TIDAK SEJAJAR DENGAN [ERLEMBAGAAN DAN BERTENTANGAN DENGAN AMANAT RUKUNEGARA

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia membenarkan pengajaran bahasa-bahasa selain dari Bahasa Kebangsaan untuk lain-lain komuniti di Malaysia. Tetapi kebebasan ini nyata terbatas kepada pembelajaran khusus bahasa tersebut sahaja dan bukan untuk ianya dijadikan bahasa penghantar bagi matapelajaran lain di Sistem Persekolahan negara Malaysia.

Kita tidak harus ada tiga sistem pembelajaran dalam tiga bahasa penghantar. Bangsa Malaysia yang bersatu dan bersepadu tidak mungkin lahir dari suasana sebegini. Keadaan tiga sistem pembelajaran ini tidak sejajar dan jelas bertentangan dengan semangat dan peruntukan perlembagaan, dan juga menyimpang dari matlamat utama Rukunegara, iaitu “mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat nya.”

Keagungan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara ini mesti di pertahankan. Perkara yang tidak sejajar, menghalang atau menentang peruntukan bahasa dalam Perlembagaan adalah di sifatkan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan atau “unconstitutional.”

Masalah-masalah yang timbul dari kewujudan Sekolah Vernakular banyak di perkatakan bukan sahaja di blog Demi Negara, malah di berbagai blog lain. Contoh hujah-hujah di alam siber yang mempertikai kewujudan Sekolah Vernakular di huraikan di lampiran bersama surat ini.


Berdasarkan kepada fakta dan pendapat yang terpapar di sini dan segala hujah yang dikemukakan di pautan-pautan berkenaan, kami dengan hormat nya meminta agar gejala Sekolah Vernakular ini di hapuskan secara total.

Kesemua Sekolah Vernakular yang ada sekarang harus diserapkan kedalam Sistem Sekolah Kebangsaan dimana peruntukkan secukupnya dibuat untuk menyediakan pembelajaran bahasa ibunda khusus untuk mana-mana murid yang memerlukannya.


Langkah susulan yang kami syorkan:-

A) PENGKAJIAN SEMULA SISTEM PELAJARAN NEGARA OLEH KUMPULAN BEBAS

A1) Kami mencadangkan suatu kajian terperinci oleh kumpulan pengkaji bebas di adakan keatas fenomena Sekolah Vernakular ini.
A2. Kumpulan pengkaji bebas ini haruslah terdiri daripada individu-individu yang berkelayakan dan berpengalaman yang setimpal dan berkecuali dari politik (non-partisan) sepenuhnya demi menentukan integriti laporan yang akan dikeluarkan.
A3. Tokoh asing yang terkenal dan berpengalaman dalam kajian sebegitu boleh juga dijemput ke kumpulan pengkaji untuk meningkatkan prestasi dan kredibiliti kajian dan laporan tersebut.


B) PENGGUBALAN SEMULA AKTA PENDIDIKAN 1996

B1) Akta Pendidikan 1996 tidak sejajar dengan matlamat pengwujudan Bangsa Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.
B2) Akta tersebut yang membolehkan wujudnya sekolah vernakular haruslah dirombak agar ianya kembali kepada niat asal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Akta tersebut berbunyi:-

"AND WHEREAS the above policy is to be executed through a national system of education which provides for the national language to be the main medium of instruction, a National Curriculum and common examinations; the education provided being varied and comprehensive in scope and which will satisfy the needs of the nation as well as promote national unity through cultural, social, economic and political development in accordance with the principles of Rukunegara."

Malaysia mengecapi suatu struktur pendidikan yang seragam melalui keperkasaan sistem sekolah kebangsaan.


C) MATA PELAJARAN ATAU SUBJEK SEJARAH DI WAJIBKAN

C1) Melihat betapa pentingnya generasi pelapis negara kita diserapkan dengan pengetahuan sejarah yang kukuh dan mencukupi, kami juga mencadangkan agar subjek Sejarah diwajibkan di semua sekolah di Malaysia. 

C2) Anak muda yang Celik Sejarah akan memahami asal usul, arca dan konteks pembentukan negara Malaysia.

C3) Ini termasuklah latarbelakang institusi Raja-Raja Melayu, perjuangan wira tanah air kita di zaman silam, peranan Orang Melayu dalam mencetus tamadun dan pembentukan negeri-negeri di Tanah Melayu sejak abad-abad awal selepas Masihi, kemasukan kaum-kaum lain ke Tanah Melayu, permuafakatan di antara kaum yang membawa kepada pembentukan Kontrak Sosial yang tersirat dalam Perlembagaan dan punca termaktubnya hak-hak dan keistimewaan Orang Melayu dalam Perlembagaan.

C4) Masyarakat yang Celik Sejarah akan mencetuskan suasana yang menyemarakkan pengwujudan Bangsa Malaysia yang kita idamkan selama ini.
C5) Selagi tidak timbul Bangsa Malaysia ini, selagilah kita berterusan sebagai sebuah negara rojak yang dilanda berbagai gejala sosial yang tidak sihat dan berbahaya kepada keselamatan negara.


D) PENULISAN SEMULA BUKU-BUKU TEKS SEJARAH

D1) Kami juga mencadangkan supaya buku-buku teks Sejarah negara di kaji semula secara menyeluruh. 

D2) Fakta-fakta sejarah yang lebih tepat dan terperinci harus dicatatkan oleh kumpulan cendiakawan yang terbukti kewibawaan dan integriti mereka. 

D3) Penghuraian sejarah yang betul akan memainkan peranan sebagai pencetus kepada pembentukan suatu Bangsa Malaysia yang sehati dan sejiwa di Tanah Air kita yang bertuah ini.


RUMUSAN

Kewujudan Sekolah Vernakular adalah satu-satunya punca utama ketidakserasian dan ketegangan kaum di negara kita tercinta. Fenomena ini hampir tiada tolak bandingnya di dunia ini dan telah menjadi suatu barah yang kian menular dalam kancah kerapuhan masyarakat Malaysia. Jika gejala Sekolah Vernakular ini tidak dibendung, negara kita akan terus bergerak ke ambang kehancuran.

Dalam segi Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Sekolah Vernakular jelas tiada tempatnya, bahkan bercanggah dengan fasal-fasal Perlembagaan dengan begitu ketara sekali. Percanggahan ini harus di bendung dan di perbetulkan secepat mungkin demi kestabilan dan keselamatan negara.



Anda Semua Dijemput Untuk Menandatangani Petisyen, klik SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA





6 comments:

Anonymous said...

Just do it macam singapore and indonesia. Unuk kebaikan masa depan patut hanya ada satu jenis sekolah sahaja iaitu sekolah kebangsaan 1 Malaysia

Kenn said...

http://kennvoices.blogspot.com/2013/05/apa-sebabnya-apa-yang-patut-diperbaiki.html

Anonymous said...

Ya. Buat je peraturan baru. Satu jenis sekolah sahaja. Tak ada makna dah buat mcm2 jenis sekolah. Lambat laun jadi macam2 perangai.

Tai said...

Ya, saya amat-amat bersetuju.

Anonymous said...

setuju sgt ta buat pun di kata rasis baik buat je sekolah 1 aliran

Anonymous said...

Malaysia terlampau berlembut. Kena tegas sikit...msh blm terlmbat. Jgn biarkan isu kemalaysiaan ini masih jd agenda kempen pru31