Friday, October 19, 2012

alt
23 daripada jumlah GLC memperolehi keuntungan sebelum cukai selama tiga tahun berturut-turut berjumlah RM 255.834 billion. Manakala 9 buah syarikat pula mengalami kerugian terkumpul untuk tempoh 3 tahun berturut-turut dengan jumlah RM 2.446 billion.

Audit 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan ada kelemahan dalam penggunaan peruntukan yang disalurkan. Kelemahan ini berlaku di institusi-institusi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri baik yang diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.

Belanjawan 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri pada 15 Oktober 2010 merupakan satu belanjawan yang baik dan memberi manfaat kepada segenap rakyat Malaysia, namun pelaksanaan belanjawan yang dibentangkan itu boleh dikatakan kurang berkesan di sesetengah agensi kerajaan dan syarikat-syarikat milik kerajaan. Kelemahan ini dimanifestasikan dalam laporan Audit 2011, paling mendapat perhatian ialah kelemahan dalam pengurusan beberapa syarikat milik kerajaan.

Dari laporan Audit 2011 , prestasi 47 syarikat milik kerajaan telah dianalisa dari tahun 2008 sehingga 2010.

Hasil analisa, 23 daripada jumlah diatas telah memperoleh keuntungan sebelum cukai selama tiga tahun berturut-turut berjumlah RM 255.834 billion. Manakala 9 buah syarikat pula mengalami kerugian terkumpul untuk tempoh 3 tahun berturut-turut dengan jumlah RM 2.446 billion. Kerugian terkumpul untuk tempoh 3 tahun berturut-turut bagi syarikat milik kerajaan adalah sesuatu yang mengejutkan, ini kerana syarikat-syarikat ini mempunyai beberapa 'kelebihan' berbanding pesaing-pesaing yang lain terutama dari segi kemudahan kerana berstatus milik kerajaan.

Segala urusan sepatutnya menjadi lebih mudah, tambahan pula dengan segala peruntukan yang telah disediakan oleh kerajaan. Oleh itu prestasi syarikat bergantung kepada pengurusan yang baik dan berhemah .

Sembilan buah syarikat milik kerajaan yang mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut dibahagikan kepada empat sektor iaitu ekonomi, sosial, teknologi dan infrastruktur.

Syarikat-syarikat berkenaan ialah Halal Industry Development Sdn Bhd dan Malaysia Venture Capital Management Sdn Bhd dalam sektor ekonomi, Indah Water Konsortium Sdn Bhd dalam sektor sosial, Jaring Communication Sdn Bhd dan Inno Bio Ventures Sdn Bhd dalam sektor teknologi, Jambatan Kedua Sdn Bhd, Assets Global Network Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Syarikat Prasarana Negara Berhad dalam sektor infrastruktur.

Sekiranya diteliti sebahagian daripada senarai syarikat yang mengalami kerugian, selain faktor perancangan dan pengurusan yang lemah, faktor desakan tanggungjawab syarikat berkenaan terhadap rakyat secara langsung dalam memberikan perkhidmatan yang murah tetapi berkualiti juga antara faktor penyebab. Daripada senarai syarikat yang mungkin mengalami dilemma ini ialah Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Syarikat Prasarana Negara Berhad.

Halal Industry Development Sdn Bhd dan Malaysia Venture Capital Management Sdn Bhd dikategorikan sebagai syarikat milik kerajaan yang beroperasi untuk sektor ekonomi. Halal Industry Development Sdn Bhd (HDC) telah ditubuhkan pada 18th September 2006. Objektif penubuhan HDC adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hub halal serantau.

Malaysia Venture Capital Management Sdn Bhd pula ditubuhkan pada tahun 2001 untuk perkembangan ICT dan industri berteknologi tinggi di negara ini. Walaupun telah beroperasi lebih dari 6 tahun, Halal Industri Development Sdn Bhd dilihat masih kekurangan momentum dalam menggerakkan negara ini sebagai hub halal serantau .

Berbeza dengan peranan yang dimainkaan oleh Malaysia Venture Capital Management, walaupun dengan prestasi kerugian selama tiga tahun berturut-turut, perkembangan ICT negara dilihat agak ketara.

Kerugian yang dialami oleh Indah Water Consortium Sdn Bhd (IWK) adalah sesuatu yang boleh dijangkakan. Satu-satunya syarikat yang menguruskan sisa kumbahan di negara ini mungkin mempunyai kekangan dari segi kewangan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan tetapi dalam masa yang sama terpaksa memberikan kemudahan itu dalam harga yang agak murah.

Caj yang dikenakan hanya RM8 sebulan bagi setiap rumah adalah terlalu rendah untuk menjalankan operasi dan penyelengaraan untuk 5,750 buah loji rawatan sisa kumbahan awam dan jaringan saluran paip sepanjang 13,000 km. Sejak penswastaan sistem pembentungan negara pada tahun 1994, kerajaan hanya melakukan dua semakan tariff pembentungan iaitu pada tahun 1996 dan 1998.

Semakan yang dilakukan pada tahun 1998 telah memberi keuntungan pada bangunan-bangunan komersil apabila caj bulanan asas untuk khidmat pembentungan telah dikurangkan. Dengan mengambilkira faktor-faktor ini, IWK dilihat menjadi 'mangsa' dalam memberikan perkhidmatan terbaik pada rakyat dengan harga yang murah . Sekiranya tarif dinaikkan pasti akan timbul isu, dan apabila berlaku kerugian juga timbul isu apabila dimainkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Dalam menuju sebuah negara yang maju, perkembangan sains dan teknologi di negara ini semakin rancak. Terdapat banyak syarikat-syarikat tempatan mula mengimport teknologi-teknologi dari luar untuk pasaran tempatan. Syarikat-syarikat ini bersaing sesama sendiri dan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan.

Jaring yang pada satu ketika dahulu menguasai pasaran ICT tempatan sekitar tahun 90-an, kini semakin kurang mendapat tempat dalam pasaran apabila sektor ICT negara semakin berkembang pesat dengan pelbagai jenis pilihan dan teknologi terkini. Sebagai syarikat yang mula-mula berperanan dalam penggunaan internet di negara ini, Jaring seharusnya melakukan transformasi atau menjadi lebih kreatif untuk survival dalam industri ICT negara.

Bagi Inno Bio Ventures Sdn Bhd pula kerugian selama 3 tahun berturut mungkin disebabkan industri bio-teknologi negara mempunyai pasaran yang kecil. Walau bagaimanapun, syarikat ini berjaya mendapat beberapa pengiktirafan antarabangsa hasil dari penyelidikan yang dilakukan. Kelemahan dari segi pemasaran produk mungkin menjadi antara faktor kerugian.

Sektor infrastruktur merupakan sektor dimana paling banyak syarikat milik kerajaan mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut. Dalam perlaksanaan sesuatu projek yang besar, contohnya projek jambatan kedua Pulau Pinang, kerugian akan berlaku apabila terdapat 'kekangan-kekangan' yang menyukarkan projek dilaksanakan.

Kerugian yang dimaksudkan ialah apabila berlaku kelewatan yang menyebabkan kos asal meningkat. Di awal perlaksanaan projek ini, terdapat pelbagai isu yang timbul di antara kontraktor yang terlibat iaitu CHEC Ltd dan UEM Builders Sdn Bhd. Isu pembinaaan jambatan kedua Pulau Pinang agak 'panas' sekitar awal tahun 2008 , pembinaan hanya bermula pada akhir tahun 2008.

Bagi syarikat pengangkutan milik kerajaan Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Syarikat Prasaran Negara kerugian yang dihadapi mungkin berkait rapat dengan dasar kerajaan dalam memperbaiki sistem pengangkutan dalam negara.

Pembinaan lebuhraya-lebuhraya yang baru dan selesa menyebabkan lebih ramai yang menggunakannya berbanding perkhidmatan keretapi yang dianggap agak perlahan tiba ke destinasi.

Selain itu, dasar mesra rakyat yang diamalkan kerajaan dalam memberikan harga tambang yang murah untuk pengangkutan-pengangkutan awam seperti keretapi yang diuruskan KTM dan bas serta LRT yang diuruskan Syarikat Prasarana Negara menjadikan dua syarikat ini berada dalam situasi yang sama seperti IWK .


sumber : KLPOS

4 comments:

Anonymous said...

alah gomen rugi ciput je, tu kira sedekah je tu, yang untung tu je dapat bonus banyak.

Anonymous said...

jangan pakai agak2 atau cincai2 ....

kena buat root cause analysis (RCA)cari punca sebenar mengapa berlaku kerugian???

-> salah tadbir urus?
-> tak kompeten & produktif?
-> penyelewengan, rasuah & khianat?
-> kepimpinan lemah & curang?

hak, duit rakyat... perlu hati2 walaupun 1 sen... sikap kebertanggungjawaban hak awam jangan diwewangkan sesuka hati ... Allah & Rasul amat menekankan pemimpin & pegawai awam tentang syariat ini.. AMANAH & ADIL .. tak berbau/masuk syurga pemimpin/pegawai yg menipu rakyatnya!!!!!

kerajaan UMNO/BN wajib bertanggungjawab... bukan cuba lepas diri!

Anonymous said...


Lapuran Audit 2012: 9 buah syarikat GLC alami kerugian 3 tahun berturut-turut dengan jumlah RM 2.446 billion.

Antaranya:
1. Halal Industry Development Sdn Bhd,
2. Malaysia Venture Capital Management Sdn Bhd,
3. Indah Water Konsortium Sdn Bhd,
4. Jaring Communication Sdn Bhd,
5. Inno Bio Ventures Sdn Bhd,
6. Jambatan Kedua Sdn Bhd,
7. Assets Global Network Sdn Bhd,
8. Keretapi Tanah Melayu Berhad,
9. Syarikat Prasarana Negara Berhad.

JANGAN MAIN2, ... SIASAT & AMBIL TINDAKAN!

Siapa BoD nya?
Siapa CEO nya?
Siapa pegawai2 nya?

Apakah mereka2 ni yg mengakibatkan kerugian Negara dan rakyat sebanyak RM 2.446 billion tu?

Mereka ini perlu dilindungi atau dibela, sedangkan mereka pengkhianat Negara dan penipu rakyat???????????????!!!!!!!!!!!!!!!!

Anonymous said...

Hi there! I just would like to give a huge thumbs up for the good
info you could have right here on this post. I shall be coming again to your blog for extra soon.



Take a look at my webpage :: james barr the semantics of biblical language pdf