Friday, January 13, 2012






KUALA LUMPUR 12 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.

Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Najib juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

1 comments:

Megat Alam Gempita said...

"SPBA hanya dibuat oleh segelintir pegawai atasan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atas arahan KSN tanpa berunding dengan CUEPACS dan tanpa pengetahuan YAB PM. Dasar baru ini memang telah menjatuhkan imej kerajaan"

Skuad Kuda Trojan dan Skuad Berani Mati Teman memohon supaya KSN yang berjawatan kontrak bersambung-sambung selama 6 tahun berturut-turut ini DITAMATKAN SEGERA dari jawatannya kerana beliaulah bertanggungjawab atas kemelut dalam perkhidmatan awam selama 6 tahun memegang jawatan termasuklah menjadi liabiliti kekalahan BN pada PRU12 yang lalu atas isu kenaikan gaji dan tiada pemberian bonus dalam budget 2008!!!!!.

Kempen pecat KSN akan bermula oleh orang-orang BN dan PR. Sila ambil PERHATIAN!!!!!!

Teman hanya menyampaikan denyut nadi masyarakat marhain!!!