
"Kita mula dengan kumpulan guru dulu, lepas itu kita tengok sama ada wajar kita perluaskan untuk kumpulan-kumpulan lain atau tidak," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau menjelaskan para pegawai dalam bidang lain mempunyai kuasa eksekutif yang jika ada jawatan politik boleh menimbulkan kemungkinan berlaku konflik kepentingan. Najib memberitahu demikian pada wartawan selepas melancarkan "Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya Khamis ketika diminta mengulas pengumuman mengenai keputusan membenarkan guru siswazah terlibat politiik oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan Rabu.

"Kepimpinan intelektual di peringkat akar umbi akan menjadi satu kekosongan jika sekiranya guru-guru tidak dibenarkan memegang jawatan (politik)," katanya.
Perdana Menteri berkata guru dihormati oleh masyarakat kerana mereka mempunyai taraf kelulusan dan ilmu pengetahuan yang lebih berbanding kelompok lain dalam sesuatu kawasan setempat.
Beliau berkata kepimpinan bersifat intelektual dan tidak bersandarkan kepada material itu juga boleh menyumbang kepada pembentukan akhlak politik yang lebih baik di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.
"Jadi, kalau guru menjadi pemimpin, mereka memberi kepimpinan yang lebih diterima sebab nilai kepimpinan itu bersandar kepada keilmuan dan kedudukan mereka yang boleh dikatakan dihormati oleh masyarakat secara umumnya walaupun ada kes-kes tertentu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap guru-guru tidak mengabaikan tugas hakiki mereka sebagai pendidik dan mereka juga perlu menghormati struktur kepimpinan di sekolah dan jabatan masing-masing, selepas dibenarkan terlibat dalam politik.

"Saya tidak terfikir mereka akan bersifat keterlaluan walaupun mereka ada jawatan politik. Mereka ini orang yang dewasa daripada segi pemikiran dan dulu pun kita telah benarkan (guru terlibat politik), tidak berlaku perpecahan dalam sesebuah sekolah itu," katanya.
Post by.... AMAT
0 comments:
Post a Comment