Ada lagi pemimpin Pas dijangka dipecat Majlis Syura
KUALA TERENGGANU 29 Jan. - Seorang pemimpin kanan Pas dijangka dipecat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu, kata bekas pengikut setia parti itu, Zainon Ismail.
Katanya, beliau difahamkan antara nama yang disebut-sebut berada dalam senarai pemecatan oleh Majlis Syura Ulama Pas ialah Ketua Dewan Ulama parti itu, Datuk Harun Taib.
Beliau berkata, tidak mustahil perkara itu berlaku selepas bekas Timbalan Presiden parti itu Nasharudin Mat Isa digugurkan sebagai ahli majlis itu pada 13 Januari lalu.
“Majlis Syura Ulama Pas adalah badan tertinggi parti itu dan apabila keputusan dibuat oleh majlis itu, maka ia tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan," kata Zainon yang juga seorang penulis buku dengan nama penanya, C.N. Al-Afghani. - UTUSAN MALAYSIA, 29 Januari 2013
Apa yang dilontarkan oleh Zainon Ismail @ C.N. Al-Afghani memang ada kebenarannya. Ketua Dewan Ulama PAS, Harun Taib adalah duri dalam daging bagi Anwar dalam Dewan Majlis Syura. Inilah satu-satunya manusia yang sering dan setiap kali menyanggah kenyataan Anwar mengenai Islam.
Ketua Dewan Ulama PAS ini cukup konsisten menghentam Anwar Ibrahim sejak dari tertubuhnya perikatan parti-parti sumbang mahram ... Pakatan Rakyat.
Sejak dari tahun 2009 lagi, Harun Taib cukup 'berlaga angin' dengan Anwar yang sering meletakkan DAP melebihi PAS, walaupun ramai akar umbi parti ini bertungkus lumus mengerah tenaga bagi merealisasikan angan-angan pakatan haram ini ke Putrajaya.
Sudah tiga kali PAS dipermainkan (main belakang) Anwar Ibrahim mengenai perlantikan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri … Kongres PKR 2009, 26 Mei 2010 dan pada Kongres PKR 2010.

Harun Taib tidak pernah bersetuju dengan keceluparan Anwar Ibrahim melantik Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ketua Dewan Ulama PAS ini menempelak Penasihat PKR tersebut sebagai memandai mandai membuat keputusan tanpa merujuk kepada PAS.
Paling jelas, beliau tetap dengan pendirian tidak bersetuju langsung dengan tindakan semberono Anwar Ibrahim menjadikan Lim Kit Siang sebagai ‘nominee’ Timbalan Perdana Menteri jika berkuasa kelak.
07 September 2012 ... Harun Taib secara terbuka menolak pemecatan Nasharudin Mat Isa. Sebahagian AJK Dewan Ulama PAS Pusat juga menyokong bekas Timbalan Presiden PAS ini secara terbuka.
Sudah masuk tiga kali Ketua Dewan Ulama PAS ini memberi sokongan secara terbuka terhadap Nasharudin Mat Isa.
Anwar tidak mahu Nasha Mat Isa menjadi pengacau kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat. Cakap-cakap Nasha Mat Isa sudah cukup menjahanamkan kerjasama parti-parti dalam pakatan haram ini.

Anwar sudah cukup letih menjadi orang tengah apabila Karpal Singh 'berlaga angin' dengan Dewan Ulama PAS. Paling terbaik, menggunakan khidmat proksi, Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu untuk menyingkirkan Nasha Mat Isa terlebih dahulu dari kelompok elit Dewan Ulama PAS.
Inilah bakal Presiden PAS selepas pemergian Hadi Awang kelak.
Mungkin ramai yang terlupa Mat Sabu dalam ucapan sewaktu Muktamar PAS tahun 2011 telah memberi 'hint' dan petunjuk terbaik mengapa perlu PAS pecat Nasha Mat Isa.
Cukup mudah memahami ucapannya, Mat Sabu mengesyorkan Majlis Ulama Syura untuk 'mengaudit' kepimpinan PAS dan mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar displin parti.
Sekaligus ucapan ini ditujukan kepada bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa ...
Puak-puak Erdogan dan Anwarinas ini sudah menghidu Nasha Mat Isa akan kembali ke pentas utama Pusat. Kembalinya Nasha Mat Isa bererti Erdogan dan Anwarinas bakal kehilangan sokongan dan dana dari Anwar Ibrahim.
Anwar cukup berpuas hati, satu musuh sudah ditumbangkan dari Majlis Ulama Syura PAS.
Yang tinggal kini hanya Haron Din dan Harun Taib. Belum sampai masanya untuk menumbangkan Haron Din memandangkan pengaruh Timbalan Mursidul Am PAS ini masih lagi utuh dalam parti.
Walhal Timbalan Mursidul Am PAS inilah yang cukup lantang dalam menentang agenda Anwar untuk menggunakan Kalimah Allah bagi penganut Kristian.
Pengaruh Harun Taib tidak sekuat Haron Din. Kehilangan Nasha Mat Isa dalam Dewan Ulama PAS sudah cukup memberikan impak besar kepada Ketua Dewan Ulama PAS ini.
Lagipun, Harun Taib adalah salah satu penentang kuat Anwar untuk memecat Nasha Mat Isa dari Majlis Syura Ulama.
Pemecatan Nasha Mat Isa yang dikaitkan dengan pemergian ke Gaza bersama Perdana Menteri DS Najib hanyalah pembuka jalan bagi perancangan yang telah lama diatur sejak dari awal.
Dewan Ulama PAS adalah musuh utama Anwar, musuh yang mampu menganggu gugat setiap perancangan dan tindakan yang diatur oleh Ketua Pembangkang ini.
Jangan terkejut jika selepas ini Harun Taib akan turut sama ditimpa kecelakaan seperti Nasha Mat Isa. Dan sememangnya ada kebenaran seperti yang diperkatakan oleh Zainon Ismail @ C.N. Al-Afghani.
Anwar memang tidak suka dengan golongan ulama yang cukup kuat 'berlaga angin' dengannya.