Sunday, September 23, 2012
PANTANG Kita Serah Negara Pada SANG SAKA PELIWAT - Najib
Perdana Menteri menegaskan bahawa masa depan negara ini adalah terlalu besar nilainya untuk diperjudikan dan adalah sesuatu yang disifatkan sebagai 'pantang' untuk menyerahkan negara ini kepada pembangkang.
Berucap kepada perwakilan Umno Johor, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno mahu setiap anggota Umno menggembleng tenaga dan kekuatan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang pada dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Kita tidak boleh menggadai masa depan, masa depan kita terlalu besar nilainya...Di sinilah (Johor) lahirnya Umno, banyaknya jasa kepada negara. Pantang kita serah negara ini kepada mereka (pembangkang).
"Allah S.W.T mencintai kita jikalau kita satu kesatuan dan InsyaAllah Allah akan memberikan kemenangan kepada Umno dan Barisan Nasional," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan persidangan berkelompok empat bahagian Umno Negeri Johor di Persada Johor, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor. Bahagian-bahagian yang mengadakan persidangan hari ini ialah Johor Baharu, Kota Tinggi, Kulai dan Tanjong Piai.
Menyifatkan pembangkang sebagai 'kosong kredibiliti', Perdana Menteri berkata mereka tidak melakukan apa-apa untuk membangunkan negara ini, tetapi hanya tahu mengutuk, menghasut dan menjanjikan perkara yang 'karut-marut' yang tidak masuk akal.
Laporan dalam sebuah akhbar hari ini katanya, turut memetik pandangan penganalisis pro-pembangkang pada sebuah majlis yang diadakan di sebuah gereja di Petaling Jaya yang memuji langkah transformasi oleh kerajaan.
Najib berkata penganalisis itu bukan sahaja memuji langkah perubahan dan transformasi yang dilaksanakan kerajaan, tetapi turut mengkritik pembangkang yang disifatkannya sebagai tidak berkredibiliti.
"Pembangkang tidak ada kredibiliti, mereka bukan sahaja tidak mempunyai simbol yang sama, tetapi dasar-dasar mereka juga berlainan dengan bermacam-macam kemelut yang dihadapi termasuk berkenaan hukum Hudud," katanya.
Malah kata Najib, pembangkang yang sering melaungkan slogan 'Jalan Ke Putrajaya', sehingga kini tidak mempunyai Kabinet Bayangan yang selaras dengan model demokrasi berparlimen.
"Mereka (pembangkang) mesti bermula dengan Shadow Cabinet (kabinet bayangan) seperti dalam sistem demokrasi model Westminister seperti di Great Britain. "Di Malaysia mana dia (shadow cabinet), ia adalah kerana mereka takut. Takut nak beri (Lim) Kit Siang apa (jawatan), menteri kewangan ke, Karpal Singh ke untuk undang-undang dan Mat Sabu nak bagi apa, menteri wanita," katanya.
Perdana Menteri berkata Barisan Nasional (BN) sebaliknya menjuarai perubahan dan transformasi yang berlaku di negara ini.Walaupun dalam sistem demokrasi berparlimen, kewujudan pembangkang dalam bilangan yang kecil adalah baik, mereka mestilah memainkan peranan dengan konstruktif dan bukan destruktif, katanya.
Beliau memberi contoh Felda dan projek minyak dan gas di Pengerang, yang cuba dinafikan pembangkang sebagai projek yang baik untuk rakyat semata-mata atas kepentingan politik.
Dalam isu Felda, Najib berkata pembangkang melemparkan pelbagai dakwaan terhadap Felda termasuk mengatakan ia bankrap, walaupun secara realitinya Felda berjaya disenarai di Bursa KL.
"Jika Felda bankrap, bagaimana ia mampu memberi RM15,000 kepada peneroka, isteri dan anak peneroka," katanya sambil memberitahu bahawa pembangkang juga cuba 'pusing' usaha kerajaan membangunkan industri minyak dan gas di Pengerang.Najib berkata BN memberikan masa depan yang penuh dengan keyakinan kepada rakyat, sarat dengan peluang dan kehidupan yang lebih baik berbanding semalam.
"Sebahagian besar rakyat Malaysia inginkan masa depan yang baik, masa depan yang bukan sarat dengan ketidakpastian, bukan masa depan yang terlalu banyak risiko, tetapi masa depan yang penuh dengan keyakinan dan di bawah pimpinan BN, hari esok adalah sarat dengan keyakinan lebih baik daripada hari ini," katanya.
Read More, SANG SAKA PELIWAT PANAS
No comments:
Post a Comment