Monday, August 9, 2010
RAMADHAN AL MUBARAK KEMBALI LAGI
Salam buat junjungan kita Rasulullah s.a.w. dan para anbia serta para sahabat Rasulullah s.a.w. yang telah berjuang menegakkan Islam seterusnya menyebarkan syair Islam ke seluruh pelusuk dunia hinggalah Islam itu bertapak di Malaysia, bumi bertuah dan dirahmati Allah Insya Allah.
Sebelum menjelma 1 Ramadhan ada baiknya kita melihat kembali perjalanan ibadah puasa kita pada tahun tahun sebelumnya apakah ibadah ini telah kita sempurnakan mengikut rukun dan syariat spertimana yang disyorkan oleh Rasulullah s.a.w.
Politik tetap berpolitik, namun ibadah ini jangan dibuat sambil lewa kerana ianya adalah salah satu dari lima (5) Rukun Islam yang wajib ditunaikan (buat yang akhil baligh). Sibuk berpolitik dan blogging sampai lupa fadhilat dan pahala ibadah hanya akan merugikan kita di Padang Mahsyar kelak.
NAYA TU BANG !!!
UMWM terlebih dahulu ingin mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa buat Muslimin dan Muslimat keseluruhan. Secara umum, UMWM ingin mengajak seluruh pembaca blog baik penyokong kerajaan memerintah mahupun para pembaca dari juak juak pembangkang kembali mengingati syarat wajib, syarat sah, rukun, fadhilat puasa agar ibadah kita diterima oleh Allah Taala, Insya Allah.
Sorilah!!! Kita lari sekejap dari topik politik, boleh ? Kita berpesan pesan di antara satu sama lain.
PUASA MENURUT SYARAK
Menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh.
Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.
NIAT DAN LAFAZ NIAT DI BULAN PUASA
Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam Bahasa Melayu, Allah itu sifatnya Maha Mengetahui. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran.
Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
( Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala )
Lafaz lengkap:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
( Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala )
Lafaz setiap malam. Niat ringkas:
نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
( Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala )
BILA MASA PERLU KITA BERNIAT PUASA
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Sebenarnya kita dibolehkan berniat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.
BILA MASA PUASA DIHARAMKAN
1. Hari Syak pada hari 30 Syaaban
2. Hari Raya Aidil Fitri pada 1 Syawal
3. Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah
4. Hari Tasyrik pada 11, 12, 13 Zulhijjah
5. Perempuan dalam keadaan haid & Nifas
6. Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
7. Orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
8. Puasa untuk orang lain dan yang ghaib serta tidak diniatkan kepada Allah SWT
SEDIKIT SEBANYAK MENGENAI PUASA YANG WAJIB DI KETAHUI
Syarat wajib puasa
Orang-orang Islam yang memenuhi syarat-syarat di bawah ini diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan:
1. Berakal/waras
2. Baligh (cukup umur)
3. Mampu/tidak uzur.
Syarat sah puasa
Manakala syarat puasa itu diterima di dalam Islam (sah) ialah:
1. Orang Islam
2. Berakal - tidak sah jika gila atau kanak2 belum mumayyiz
3. Suci daripada haid dan nifas
4. Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.
Rukun puasa
Rukun puasa ada dua, iaitu:
1. Berniat pada malam harinya
2. Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.
Sunat puasa
Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa:
1. Makan sahur serta melambatkannya
2. Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
3. Menjamu orang-orang berbuka puasa
4. Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.
Perkara yang membatalkan puasa
1. Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
2. Muntah dengan sengaja
3. Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja
4. Keluar darah haid atau nifas
5. Gila (hilang akal)
6. Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
7. Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
8. Murtad (keluar dari Islam)
9. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya. Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).
Tingkatan Puasa
Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:
1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
3. Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan.
Kerugian bagi yang meninggalkan puasa Ramadhan
Pahala puasa di bulan Ramadhan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan saja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya.
Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”
(Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
HIKMAH BULAN PUASA DI BULAN RAMADHAN
1. Tanda bersyukur kepada Allah Taala atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga.
2. Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah Taala.
3. Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka
4. Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
5. Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup.
FADHILAT PUASA DI BULAN RAMADHAN
Puasa pada bulan Ramadhan difardhukan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah yang telah 'aqil baligh dan ketiadaan uzur syar'i. Uzur puasa seperti sakit dan dalam perjalanan (musafir) sejauh 91km atau lebih. Orang yang uzur boleh meninggalkan puasanya. tetapi wajib mengqadhanya pada hari dan bulan yang lain.
Puasa Ramadhan adalah menjadi salah satu rukun Islam yang kelima. Pahala menunaikan ibadah ini cukup dan teramat besar nilainya.
Kalau nak diceritakan lagi fadhilat beserta Firman Allah Taala dan Hadis Rasulullah s.a.w. memang tak cukup satu blog ni, terlalu banyak untuk dipetik dan dihuraikan. Cukuplah sekadar buat pengetahuan kita bersama.
UMWM sekali lagi mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa buat Muslimin dan Muslimat agar ibadah kita diterima oleh Allah Taala dan diberi ganjaran yang sewajarnya.
Buat para bloggers pro kerajaan, perjuangan perlu diteruskan seperti biasa walaupun di bulan Ramadhan Al Mubarak. Semoga perjuangan saudara saudara sekelian dirahmati dan diberkati oleh Allah Taala.
Buat para bloggers pembangkang, UMWM juga mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa (kalau baca la blog ni).
Lawan tetap lawan! Macam biasa bang! Kena taram jugak bang!
Jika berkesempatan, ‘forward’kan artikel ini untuk kebaikan kita bersama. Tak rugi apa apa pun!
MELAYU ATAS PAGAR
No comments:
Post a Comment