PUTRAJAYA 30 Julai - Polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat seolah-olah berleluasa sejak kebelakangan ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya semua pihak perlu memahami bahawa polis di Malaysia menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan berbanding negara maju.
"Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk sesuatu kawasan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kuppa di pejabatnya di sini hari ini, sebagai mengulas kejadian tembak yang sering dilapor sejak kebelakangan ini termasuk melibatkan individu berprofil tinggi.
sumber : UTUSAN MALAYSIA
Sekali imbas, memang tidak ada cacat celanya artikel yang diterbitkan di Utusan Malaysia. Kita yakin setiap patah perkataan yang disebut oleh Menteri Kementerian Dalam Negeri ini dirakam oleh wartawan yang menjalankan tugas dengan sebaiknya.
Cuma yang menjadi cacat cela adalah statistik perbandingan diantara polis negara ini dan polis di New York, sebagaimana yang disebut oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
"Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk sesuatu kawasan," katanya.
Bijak pandai mana yang memberikan MAKLUMAT YANG SALAH kepada Menteri KDN ini, cukup hampir menjatuhkan imej dan kredibiliti seorang Menteri yang boleh dianggap telah melakukan tugas dengan baik setakat ini.
Sedia maklum, Setiap Menteri mempunyai setiausaha politik dan pegawai-pegawai medianya sendiri. Dalam kata lain, mereka ini adalah kakitangan kerajaan yang diamanahkan untuk membantu bos masing-masing.
Statistik perbandingan ini sudah menjadi BAHAN MOMOKAN pembangkang ...
Tidak perlu rasanya disebut media, blog atau facebook pembangkang yang mana satu mempersendakan KEBODOHAN dan CUAINYA kakitangan kerajaan dalam menyalurkan maklumat yang betul dan tepat kepada bos mereka, lebih-lebih lagi bos mereka ini adalah seorang Menteri.
sumber : NYPD website
Mengikut sumber maklumat yang BETUL dan TEPAT dari laman web Polis New York (NYPD), jumlah keseluruhan anggota pasukan tersebut berjumlah 34,500 orang dengan 8,336,697 penduduk di New York, mengikut bancian penduduk di New York tahun 2012.
Secara matematik dan congak, seorang polis New York sebenarnya berkhidmat untuk 242 penduduk.
Bagaimana Menteri KDN boleh menyebut seorang polis New York berkhidmat untuk 35 penduduk ? Ini belum lagi mengambilkira BENAR ATAU TIDAK maklumat yang disalurkan kepada Menteri KDN bahawa seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk sesuatu kawasan.
Inilah masalah asas yang melibatkan kakitangan kerajaan yang CUAI dalam memberikan maklumat yang BETUL dan TEPAT kepada bos masing-masing.
Yang kena hentam Menteri-menteri yang memberikan kenyataan. Yang memberikan MAKLUMAT YANG SALAH kepada Menteri mula menyorokkan diri dan menuding jari.
Bila dikritik kakitangan kerajaan tidak 'hands on' dengan kerja yang dilakukan, ramai yang merah mata dan telinga. Gaji sudah berapa kali naik sejak kebelakangan ini, namun 'output' masih ditakuk lama.
Bila Menteri-menteri terbabit sudah tercalar imej dan kredibiliti, secara tidak langsung imej dan kredibiliti Perdana Menteri juga akan terpalit.
