Saya telah meminta kabinet untuk membincangkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950. Apa saja yang kita lakukan, kita mesti mendahulukan kepentingan rakyat - Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengarahkan kabinet untuk membincangkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang menjadi isu besar dalam alam maya.
Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan yang dibuat terhadap Akta Keterangan yang telah digazetkan pada Julai lepas.
"Saya telah meminta kabinet untuk membincangkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950. Apa saja yang kita lakukan, kita mesti mendahulukan kepentingan rakyat," kata Najib ringkas dalam ruang Twitternya.
Najib ketika ini berada di Mekah untuk Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Respon Perdana Menteri yang juga pengguna aktif laman sosial facebook, blog dan Twitter itu merupakan satu tindakan yang cepat daripada seorang pemimpin negara apabila sejak beberapa hari ini, akta itu mula mendapat tentangan pengguna internet.
Kempen-kempen tentangan terhadap akta itu dibuat oleh pertubuhan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan sepanduk yang dibuat oleh pertubuhan itu melalui laman facebook dengan tajuk 'Stop 114A' itu telah dimuat turun oleh pelbagai pengguna internet negara ini.
Akta 114A dikatakan bersifat berat sebelah kerana undang-undang boleh mendakwa mereka yang menyiar dan menyalin semula atau memaparkan kandungan seperti hasutan dan fitnah walaupun bukan mereka yang menghasilkan bahan itu.
sumber : KLPOS
GWM cukup yakin majoriti di kalangan blogger pro kerajaan tidak tahu kempen yang dijalankan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) terhadap Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.
GWM adalah satu blogger pro kerajaan berkata 'tidak' terhadap Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.
Berkata 'tidak' bukan bererti menentang kerajaan ...
Berkata tidak kerana Akta ini dilakukan secara tergesa-gesa tanpa dilakukan secara terperinci sebab dan akibat yang bakal berlaku (repercussion).
Mengapa 3,464 pengguna internet, majoritinya adalah blogger dan facebooker menandatangi petisyen agar kerajaan menyemak dan membincangkan kembali akta ini.
Ada beberapa perkara dan isu yang cukup menggugat pengguna internet yang mempunyai blog atau facebooker, atau kedua-duanya.
Petition Background (Preamble):
Kami, para pengguna internet yang mendukung kebebasan berinternet ingin menggesa pihak Kerajaan Malaysia untuk menarik semula Akta Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 atas sebab-sebab yang berikut:
1. Akta tersebut bertentangan dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan bahawa seseorang tidak bersalah selagi belum dibuktikan kesalahannya. Seksyen 114A yang baru diperkenalkan itu boleh mengakibatkan seseorang disabit secara salah dan menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu.
2. Akta tersebut juga menjadikan pihak yang membekalkan perkhidmatan di internet seperti blog, forum dan pengehosan web bertanggungjawab sepenuhnya atas segala isi kandungan yang tersiar atau tersimpan di dalam perkhidmatan tersebut. Pengenalan akta ini boleh menyebabkan ruangan komen pada blog dan laman web yang mempunyai peranan penting dalam dunia interaktif dibuang.
3. Akta yang diperkenalkan ini mengancam kebebasan berinternet kerana tanggapan atas kesalahan yang belum dibuktikan boleh menakut-nakutkan pengguna-pengguna internet yang memanfaatkan internet sebagai satu medan interaktif untuk perbincangan mengenai demokrasi. Akta ini juga menghindarkan pengguna internet daripada mengutarakan pendapat bernas mereka.
4. Akta yang baru diperkenalkan ini juga membolehkan para penggodam dan penjenayah internet bermaharajalela kerana beban kesalahan kini terletak di bahu pihak yang akaun atau komputernya digodam. Secara tidak langsung, para penggodam dan penjenayah siber akan dilindungi oleh akta ini kerana hanya individu yang menjadi mangsa mereka sahaja yang akan disabit kesalahan.
5. Akta tersebut mengurangkan kebebasan individu untuk mengelakkan identiti mereka diketahui ramai. Kebebasan tersebut penting untuk memastikan internet kekal bebas dan terbuka. Penyembunyian identiti juga penting untuk melindungi individu daripada sesuatu yang boleh membahayakan keselamatan mereka contohnya dalam kes keganasan rumahtangga. Selain itu penyembunyian identiti juga akan memastikan pemberi maklumat tidak akan diapa-apakan oleh pihak berkuasa apabila mereka membongkar kes penyalahgunaan kuasa.
6. Akta ini merupakan akta yang tidak digubal dengan baik kerana penggubalan dibuat secara tergesa-gesa tanpa penglibatan rakyat dan tidak menghiraukan kehendak awam.
Perlu ditekankan bahawa akta ini masih belum digazetkan dan dikuatkuasakan lagi. Oleh sebab itu, akta ini perlu segera ditentang dengan cara menandatangani e-petisyen ini.
GWM adalah salah seorang blogger pro kerajaan yang menandatangi petisyen ini agar pihak kerajaan membincangkan kembali penguatkuasaan akta ini.
Yang pasti akta ini dilakukan secara tergesa-gesa tanpa suatu kajian yang cukup terperinci.
Akta 114A dikatakan bersifat berat sebelah kerana undang-undang boleh mendakwa mereka yang menyiar dan menyalin semula atau memaparkan kandungan seperti hasutan dan fitnah walaupun bukan mereka yang menghasilkan bahan itu.
Apa yang menyedihkan GWM, mengapa perlu DS Najib dibebankan dengan masalah yang tidak sepatutnya diletakkan di atas bahu beliau.
Setiap kali masalah timbul, DS Najib akan terlebih dahulu meminta maaf untuk menutup ruang-ruang kesilapan yang dilakukan oleh pihak yang dibayar gaji lumayan dalam kerajaan.
Sampai bila DS Najib harus dibebankan dengan setiap masalah yang timbul?
Flip Flop? DS Najib juga yang menjadi bahan mainan pembangkang ...
No comments:
Post a Comment