SEREMBAN, 11 Okt – Seorang penumpang bas ekspres Delima yang terselamat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 12 nyawa petang semalam, mendakwa dia melihat pemandu bas cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan bas itu mula terhoyong-hayang menyebabkan ia melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.
Tew Chi Ling, 18, pelajar Kolej Bandar Utama itu berkata dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana dapat menyaksikan keseluruhan detik-detik cemas, ketika kemalangan itu berlaku.
"Saya tengok, ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia. Ada yang mengeluh kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya," katanya.
Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti penumpang yang terbabit dalam kemalangan maut itu.
"Saya bernasib baik kerana selamat bersama seorang rakan kolej. Saya masih dirawat, tetapi rakan telah dibenarkan balik. Saya cuma mengalami cedera ringan dan luka di beberapa bahagian badan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini hari ini.
Sebahagian besar penumpang bas ekspres Delima itu sedang tidur ketika kenderaan itu melambung, terhempas dan melanggar beberapa kenderaan lain di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat, di Rembau.
Menurut beberapa penumpang yang terselamat, mereka melihat penumpang lain yang ketika itu ramai yang tidur melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas di atas jalan raya.
Seorang lagi penumpang, Liow Sin Ren, 23, berkata dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik
Sumber Bernama
Kecuaian Pemandu Bas Cuba Memotong Mengakibatkan Kemalangan Maut
Posted by
PAPA GOMO
|
Monday, October 11, 2010


